Tuesday, November 15, 2011

MRT jangan jadi projek membazir

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Jabatan Perdana Menteri mengemukakan hasil kajian terperinci kepada umum berhubung pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Pantas (MRT) Lembah Klang Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kajian itu perlu diketahui bagi memastikan tidak berlaku pembaziran daam projek berharga RM40 bilion itu dan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Tunjukkan kajian yang telah dilakukan dan sasaran yang dicapai. Mengikut kajian yang saya peroleh, untuk jajaran Sungai Buluh dan Kajang hanya 20 peratus (penduduk) sahaja yang akan memanfaatkan pembinaan MRT di kawasan itu," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengambil contoh kegagalan pembinaan monorail di bandaraya Melaka, Khalid juga berkata, kerajaan tidak harus menjalankan projek secara membabi buta tanpa memikirkan manfaat jangka panjang.

"Sejauh mana kajian terperinci dibuat, biar ia merupakan satu usaha yang mempunyai sasaran. Jangan jadi seperti Bandaraya Melaka. Nakkan monorel, bina monorel lepas tu memalukan nagara kita," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Operasi perkhidmatan Melaka Monorel yang bernilai RM15.9 juta itu bermula sejak setahun lalu dan pernah dihentikan sebanyak tiga kali akibat masalah teknikal.

Awal bulan ini, sepasang pelancong dari Britain terkandas dalam monorel di Bandaraya Melaka dipercayai berpunca daripada kerosakan pada pam pintu sehingga menyebabkan sistem terhenti.

Khalid dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana sistem MRT yang ingin dibina akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan siapakah yang telah melakukan kajian berhubung persoalan ini.

Timbalan Di jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam jawapannya mengakui pembinaan MRT tersebut tidak mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Justeru beliau berkata sistem pengangkutan awam yang lain seperti perkhidmatan bas, teksi, dan sistem transit aliran ringan (LRT) perlu dtingkatkan.

Projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pertengahan tahun depan meliputi laluan ke Serdang, Cheras, Kepong, Damansara, Subang Jaya dan Puchong.


sumber: harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment