Wednesday, November 16, 2011
Mengantuk: Nik Aziz nasihat pemandu berehat
KOTA BHARU, 16 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemandu kenderaan sama ada dalam perjalanan jauh atau sebaliknya ‘berehat’ sekiranya berasa mengantuk.
Katanya, rehat atau tidur penting untuk mereka yang sedang memandu kenderaan bagi mengelakkan kejadian kemalangan jalanraya.
Tegasnya, kerana meneruskan pemanduan ketika mengantuk antara punca utama penyebab berlakunya kemalangan jalanraya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas melawat Penolong Pengurus Latihan PKINK, Mohd Roslan Mohd Zain, 40 yang terlibat dalam kemalangan pada pagi 11 November lalu selepas pulang dari menghadiri program penyerahan poster amanat bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sehari sebelumnya.
Roslan yang terselamat bersama seorang pemandu Mohd Riduwan Ilias bagaimanapun cedera parah di kepala, manakala Pegawai Khas Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Tuan Guru, kemalangan jalanraya sebahagian besarnya berlaku akibat mengantuk.
“Saya nasihatlah pada semua pemandu berehat atau tidur di tempat yang sesuai sekiranya mengantuk, insya Allah dengan izin Allah kita akan selamat.
“Saya sendiri dulupun dua kali terlibat kemalangan sewaktu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pengkalan Chepa, semuanya kerana mengantuk,”ujarnya.
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam dua kejadian itu.
Beliau yang diiringi Setiausaha Akhbarnya, Ustaz Mohd Fadzli Shaari, turut menghulurkan sumbangan kepada Roslan.
Turut menyambut kedatangan Tuan Guru pihak hospital Raja Perempuan Zainab ll termasuk Dr Rosli Allani.
Sementara itu, isteri Roslan, Noraisiah Deraman, 40, ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada Tuan Guru termasuk Pejabat Menteri Besar.
Beliau yang juga kakitangan Harakah Cawangan Kelantan, berkata semoga dengan kedatangan Tuan Guru termasuk pimpinan yang lain akan memberikan semangat untuk suaminya.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang sudi menziarahi suami saya termasuk yang mendoakan kesejahteraannya, terima kasih semua,” ujarnya.
Noraisiah bagaimanapun memberitahu suaminya masih mengadu sakit akibat kemalangan itu.
sumber:harakahdaily.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment