Tuesday, November 15, 2011

Masuk Neraka Kerana Seekor Lalat


Dari Tariq ibn Shihab,

Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda saw bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat". Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain , ia berkata “ aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.”
(HR Imam Ahmad)

Situasi ini mungkin sudah tidak berlaku di zaman sekarang. Tidak ada lagi orang yang memaksa untuk berkorban untuk patung ataupun berhala. Tetapi di zaman yang serba maju ini, keadaan ini sebenarnya masih berlaku tetapi dalam keadaan yang berbeza dan tidak lagi dipaksa tetapi rela. Menarik bukan.


Saya ingin kaitkan hadis ini dengan situasi masyarakat sekarang yang masih taksub dengan bomoh. Bomoh yang membakar kemenyan dan meminta pengeras sebagai korban untuk mencapai hajat apa yang diingini. Bukankah situasi ini sama dengan kisah di dalam hadis tersebut.

Pengeras

Pengamal perubatan tradisional yang juga dikenali sebagai bomoh ataupun dukun akan mengenakan bayaran tertentu sebagai upah kepada perkhidmatan yang mereka berikan. Untuk nampak lebih hebat, kononnya jumlah bayaran tu telah pun ditetapkan oleh khadam ataupun jin belaan bomoh tersebut. Bayaran Pengeras tidak sama antara bomoh dan jenis penyakit. Dari puluhan ringgit hinggalah boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Pengeras yang agak tinggi biasanya akan cuba dibayar oleh pesakit walaupun tinggal sehelai sepinggan disebabkan desakan penyakit yang di alami. Cuba kita fikirkan, adakah jin memerlukan duit? Jin tidak perlu menghulurkan duit pun untuk membeli sekampit beras dikedai runcit.

Selain meminta pengeras dalam bentuk duit, ada juga yang meminta yang bukan-bukan seperti darah ayam, telur ayam kampung, pulut kuning. Barang-barang yang diminta oleh jin ataupun syaitan ini berlainan mengikut keadaan geografi (negara). Kenapa? Sebenarnya syaitan tidak memerlukan barangan tersebut. Tetapi mereka gembira kita dapat mengikut kemahuan mereka. Tujuan mereka cuma satu, untuk sesatkan manusia dan mendiami neraka bersama mereka.

Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Berserah kepada Allah swt. Jangan biarkan diri diperdaya oleh Syaitan. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh yang nyata.

No comments:

Post a Comment