Malaysia dan Indonesia mengadakan rundingan berhubung cadangan menjadikan Bahasa Indonesia-Melayu sebagai bahasa ASEAN dan satu kertas cadangan akan disediakan berhubung perkara itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau berkata, kertas cadangan itu akan dibawa untuk perbincangan di mesyuarat ASEAN yang lain.
"Cadangan itu menggunakan tinjauan yang lebih mendalam kerana ia mengandungi aspek pelaksanaan dari segi piagam ASEAN sendiri.
"Jadi kalau kita wujudkan Bahasa Indonesia-Melayu misalnya, maka piagam itu perlu kita lihat dari sudut perundangannya," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia selepas acara Pemukiman Menteri-menteri Yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian di Nusa Dua, hari ini.
Rais berkata, pada masa ini piagam ASEAN menggunakan bahasa Inggeris, sehubungan itu pelaksanaan cadangan itu harus dilakukan secara berhati-hati.
"Jadi Indonesia dan Malaysia perlu mempunyai satu pegangan yang jelas dulu dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) insya Allah akan membawa perkara ini ke setapak lagi pada sesi pertemuan di Sulawesi atau di Yoyakarta pada masa depan," katanya.
Dalam acara pemukiman hari ini, Menteri-menteri Kebudayaan ASEAN sepakat merumuskan satu deklarasi tujuh perkara berhubung pengarahan dalam pengisian program pembentukan Komuniti Sosio Budaya ASEAN.
Rais berkata, sungguhpun ada persoalan perundangan berhubung cadangan itu, pelaksanaannya dari aspek budaya masih boleh dilakukan.
"Kita tidak memasukkan dalam deklarasi terus, tetapi dalam kerja, dalam kerjasama, ia adalah integral," katanya.
Rais sebelum ini mengemukakan cadangan supaya bahasa Indonesia-Melayu dijadikan Bahasa ASEAN kerana penutur bahasa itu mewakili majoriti penduduk di rantau ASEAN.
Cadangan itu antara lain turut dibahaskan pada pertemuan penulis dan budayawan Malaysia-Indonesia, anjuran Iswami di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, lebih sebulan lalu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment