Wednesday, April 27, 2011

Kadar siling caj doktor ditetap: Pesakit dijangka perlu bayar antara 20 hingga 30 peratus lebih tinggi


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/04/25

sumber: DI SINI
Pesakit dijangka perlu bayar antara 20 hingga 30 peratus lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyemak semula caj profesional untuk pengamal perubatan, doktor dan pakar perubatan dengan menetapkan kadar bayaran siling bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara.
Difahamkan, langkah itu bertujuan memantapkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan negara melalui penetapan kadar siling bagi bayaran profesional pengamal perubatan, doktor dan pakar, yang dikenakan kepada pesakit di klinik dan hospital swasta.
Jika diluluskan, orang ramai dijangka perlu membayar antara 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada caj sekarang selepas kadar itu tidak dikaji selama kira-kira 10 tahun.

Penetapan bayaran siling baru itu akan dilaksanakan menerusi pindaan Jadual Ke-13 mengenai Bayaran Profesional, Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 dan jika diluluskan, seramai kira-kira 7,000 pengamal perubatan swasta akan menikmati bayaran baru untuk perkhidmatan mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan cadangan semakan semula bayaran itu, berkata pindaan berkaitan sudah siap dan menunggu masa untuk dibentang ke Kabinet dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kadar semakan semula bayaran profesional dicadangkan Kementerian Kesihatan, sebaliknya memberi jaminan tidak membebankan rakyat.
Namun, difahamkan kadar kenaikan dua hingga tiga peratus setahun itu seperti dicadangkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang turut menyumbang input kepada cadangan semakan semula bayaran itu.

“Pindaan atau semakan semula itu dibuat selepas kementerian mengambil kira bayaran kepada doktor yang sudah lama tidak dikaji hampir 10 tahun. Memang ada permohonan untuk meningkatkan kadar yuran profesional terutama di kalangan pengamal perubatan swasta.

“Yuran pakar juga akan dipertimbangkan. Namun, kelulusannya tertakluk persetujuan Kabinet kerana kita tidak mahu ia membebankan rakyat, sebaliknya menguntungkan semua pihak dengan kualiti khidmat kesihatan lebih baik,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan semakan semula bayaran profesional bakal dilaksanakan tidak lama lagi selepas kali terakhir kerajaan mengkaji bayaran itu pada 2002.

Ketika ini kadar bayaran profesional bagi doktor dan pakar perubatan dikawal dan ditetapkan kementerian yang perlu dipatuhi setiap pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Berikut Komen Rakyat :-





Pemuda: Terasa juga bebanan kos rawatan kesihatan sekarang, sekali pergi tidak kurang RM50 perlu sedia dalam poket. Pernah satu ketika, penulis tidak cukup cash, terpaksa mencari ATM terhampir. Selepas cadangan ini dipersetujui, tidak mustahil kos rawatan penyakit biasa mungkin cecah ratus-ratusan. Sedangkan penulis berpandangan sudah menjadi kewajiban mana-mana pentadbir kerajaan untuk memastikan rakyatnya mendapat rawatan kesihatan, bukan memberikan rawatan tetapi dengan kos di luar kemampuan rakyat.

1 comment:

  1. "...sebaliknya memberi jaminan tidak membebankan rakyat... "

    Mohon guna ayat lain, bosan la dengan ayat skema ni lagi...atas dasar apa kamu katakan jaminan tidak membebankan rakyat...

    ReplyDelete