Thursday, September 8, 2011

Ramai bantah cukai 6 peratus


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar hari ini senada membantah pengenalan enam peratus cukai perkhidmatan bagi pembelian tambah nilai prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma‘amor Osman berkata, cukai itu dilihat membebankan pengguna apatah lagi caj panggilan yang dikenakan ketika ini sudah mahal.
“Keputusan itu tidak masuk akal dan kami membantah perlaksanaanya. Selama ini, jika kita membuat panggilan dan tidak berjawab, ia tetap dikenakan caj, inikan pula hendak perkenalkan cukai perkhidmatan.
“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan membuat keputusan teliti dan jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai enam peratus itu termasuk pek atau kad SIM prabayar yang berkuatkuasa 15 September ini.
Mengulas lanjut, Maamor berkata,selama ini syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa) meminta kerajaan membekukan perlaksanaan langkah itu.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, pengenalan cukai itu tidak releven dengan situasi ekonomi semasa yang menyaksikan rakyat berpendapatan rendah masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos barangan yang lain.

“Kami sangat dukacita kerana industri itu hanya melihat dari satu pandangan sahaja iaitu meningkat keuntungan mereka tanpa mempedulikan nasib pengguna.

“Selama ini, syarikat-syarikat berkenaan sudah mengaut keuntungan lumayan bukan sahaja melalui 15 juta rakyat tempatan tetapi juga daripada lebih empat juta pekerja asing di negara ini yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Apakah semua itu tidak cukup lagi sehingga mahu menekan pengguna dan rakyat negara ini pula,” katanya.
Menurutnya, jika keputusan tersebut dikekalkan, Cassa akan bekerjasama dengan persatuan pengguna dan NGO lain untuk melancarkan kempen memboikot secara besar-besaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, cukai itu dilihat sebagai cekik darah dan tidak perlu sama sekali.

“Pengguna menggunakan kad prabayar kerana mereka tidak merasa beban berbanding menggunakan talian yang kadang-kala mencecah ratusan ringgit apabila membuat pembayaran.

“Malahan, ada kad prabayaran yang boleh ditambah nilai dengan hanya RM5 tetapi jika mereka kenakan cukai, ia dilihat seperti membuli pengguna dan ia tidak patut berlaku,” katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my

Cukai perkhidmatan 6% tambah nilai, kad SIM


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus akan dikenakan bagi pembelian tambah nilai prabayar serta pek atau kad SIM prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi, berkuat- kuasa 15 September ini.
Dengan cukai tersebut, pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60.
Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat telekomunikasi berkata, para pelanggan prabayar akan dimaklumkan mengenai perkara itu mulai petang ini.
Para pengguna juga boleh merujuk di laman sesawang telekomunikasi untuk maklumat lanjut atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan untuk sebarang pertanyaan.
Cukai perkhidmatan itu adalah cukai perbelanjaan dan dikenakan kepada pengguna, seperti yang termaktub dalam Undang-undang Cukai Perkhidmatan.
Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memperuntukkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar semasa untuk perkhidmatan telekomunikasi termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.
Cukai itu sama dengan levi cukai perkhidmatan bagi pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi telah menyerap cukai itu dalam perkhidmatan prabayar mudah alih sejak ia diperkenalkan pada 1998.
Langkah itu diambil untuk memastikan perkhidmatan prabayar kekal kompetitif berbanding pascabayar memandangkan kadar prabayar lebih tinggi untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
sumber:  http://www.utusan.com.my

Monday, August 22, 2011

Barang naik : Menteri Umno tipu rakyat lagi





Maka berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.
“Bukan kerajaan yang tentukan kenaikan harga sebaliknya ia ditentukan oleh pasaran dunia. Setiap kali berlaku kenaikan harga kerajaan sentiasa mencari mekanisme tertentu untuk mengawalnya dan pada masa sama melindungi pengguna.
“Hal ini memang disedari oleh pihak pembangkang iaitu PAS, tetapi mereka sengaja mempolitikan isu ini,” katanya dipetik Bernama Online.
Kalau macam itu tak perlu jadi kerajaan kerana gagal mencari kaedah untuk mengawal atau menurunkan harga barang. Sedangkan pada masa yang sama kerajaan memberikan sedekah RM19bilion kepada IPP dan RM4bilion kepada Pengusaha Lebuhraya berjumlah.

Selain itu kerajaan berlepas tangan dengan ketirisan akibat rasuah dan penyelewengan sebanyak RM28bilion. Bayangkan jika RM19bilion dicampur RM4bilion dan RM28bilion bermakna RM51bilion dibazirkan oleh kerajaan. Sepatutnya wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu rakyat menurunkan harga minyak dan barangan.

Jika kerajaan BN sudah tidak mampu untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat eloklah mereka berundur dan memberikan laluan kepada PR pada PRU 13 nanti.
 

Al-Fatihah, Pemergian mu ku tangisi Cikgu/Ustaz Azizi Hj Abdullah



Cikgu Azizi Hj Abdullah, novelis/aktivis yang mencorak pemikiran rasa penulis telah kembali ke rahmatullah, 21/8/2011 seawal kira-kira jam 8pagi pada usia 69 Tahun. Pemergian beliau, amatlah penulis rasai. Terbayang novel-novel beliau yang menjadi koleksi wajib di rumah. Ada juga novel beliau yang tidak sempat penulis langsaikan. Semacam hutang penulis kepada almarhum. InsyaALLAH, selepas ramadhan, penulis akan berusaha menyelesaikan bacaan novel-novel ahmarhum yang masih tertangguh. Novel terbaik yang pernah beliau tulis antaranya ialah novel 'Kawin-kawin', sebuah novel yang berjaya meraih tempat pertama Hadiah Sako (2001) -baca SINI. Novel kawin-kawin ditabik hormat oleh Faisal Tehrani...

Alfatihah.

p.s: bagi yang tidak tahu, almarhum pernah bertanding dalam PRU 1999, di bawah parti PAS. Bagi penulis, beliau sepatutnya telah lama dinobatkan sebagai sasterawan negara...

Tuesday, August 9, 2011

PEMASTAUTIN TETAP DIDAFTAR JADI PENGUNDI HANTU DI HULU LANGAT



LAPORAN POLIS KES KEWUJUDAN PEMEGANG IC MERAH DALAM DAFTAR PEMILIH HULU LANGAT.

KAJANG, 9 Julai 2011 (11.00 pagi) : PAS Kawasan Hulu Langat bersama Dewan Pemuda PAS Hulu Langat hadir ke IPD Kajang untuk membuat laporan polis berkaitan kes kewujudan pemegang IC merah di dalam senarai pengundi di kawasan Hulu Langat. Sejumlah 185 IC merah yg dicetak di bawa bersama ke IPD Kajang sebagai bahan bukti. YDP PAS Kawasan Hulu Langat, Tuan Hj. Razaly Hassan meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia supaya mengambil tindakan segera dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara digesa agar bertanggungjawab dalam perkara ini. “Kita juga meminta pihak SPR menggunakan dakwat kekal semasa pembuangan undi dan bukannya sistem biometrik yang mana keberkesanannya sangat meragukan,” katanya.

“Kesemua 185 nama yang dijadikan bukti adalah mereka yang didaftarkan sebagai pengundi di dalam kawasan Hulu Langat. Nama-nama tersebut wujud di dalam daftar pemilih dan apabila semakan dibuat melalui laman web Jabatan Pendaftaran Negara, kita dapati bahawa maklumat yang ada dalam Jabatan Pendaftaran Negara itu meragukan kerana masih lagi berstatus PR (Permanent Residence),” kata Jamzuri Ardani merangkap Naib YDP PAS Kawasan Hulu Langat.



Turut hadir sama ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, saudara Sany Hamzan.

SUK DPPKHL - Safuan
Foto: @shookcree zain

Monday, July 25, 2011

Kajian: Kos hidup naik, BN boleh rasa tempias di PRU


KUALA LUMPUR, 25 Julai — Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.

Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.
Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.
Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.

Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.
“Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik,” kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.

Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.

Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka “miskin” sekarang ekoran peningkatan inflasi.
Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.

Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.

“Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga),” katanya lagi.
Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.

Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.

Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.

“Kehidupan di sini semakin buruk sekarang,” kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.
Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.

Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.

Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.

“Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini,” kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.

“Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup,” katanya lagi.

Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.

“Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya,” kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.

“Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran,” katanya.
Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.

“Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.

Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.

“Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?” kata Wan Saiful.
“Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB,” katanya lagi sambil menambah, “sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang.”

Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.

Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.

Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.

Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.

Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.

Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.

“Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua,” katanya dengan nada kesal.

sumber: http://www.themalaysianinsider.com

Wednesday, June 15, 2011

Persatuan Ulama kecam karikatur Utusan Malaysia, dakwa hina Islam



KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Jelas Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

“PUM memandang serius penyiaran kartun dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam ... perkara ini tidak harus dibiarkan.

“Kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan susulan ekoran keberanian pelukis dan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur begitu.

“PUM meminta supaya para mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

“Sehubungan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Selain itu, tegas Sheikh Abdul Halim, pihaknya juga mahu pelukis dan Utusan Malaysia didakwa kerana menghina Islam.

“Sepatutnya perkara sebegini sepatutnya mereka perlu mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.

“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini di dakwa atas penghinaan ke atas Islam,” katanya yang turut menyarankan agar kerajaan mengadakan lebih banyak program untuk menyelesaikan isu berkaitan agama Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata sepatutnya pelukis karikatur itu perlu tahu bahawa tindakannya akan mengundang rasa marah umat Islam yang lain.

“Kartun ini hina Islam sebab dalam kes zina memang rakaman video tidak boleh dijadikan bukti tapi dalam kes rogol ia boleh dipertimbangkan dengan rakaman video itu disahkan dulu.

“Kes rogol bukan perbuatan zina, saya rasa pelukis ini silap dan tidak faham,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan juga mengecam sekeras-kerasnya Utusan Malaysia.

“Lakaran kartun tersebut jelas sekali memperlekehkan aspek sistem keadilan di dalam Islam dengan memaparkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan diminta mendatangkan empat orang saksi serta ditolak bukti melalui rakaman videonya,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan.

Kata beliau, jelas sekali mesej yang ingin disampaikan oleh rakaman tersebut ialah betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat orang saksi lelaki yang adil dalam penghakiman kes zina serta liwat dan rogol.

“Perlu diingatkan bahawa, penentuan ini bukan dibuat oleh mana-mana pemimpin pembangkang khususnya PAS seperti yang mungkin ingin disampaikan melalui kartun tersebut, tetapi ia dibuat melalui firman Allah SWT,” katanya.

Tambah beliau, akhbar seperti Utusan Malaysia yang mendakwa membela Islam pula yang menjatuhkan maruah Islam dan memperlekehkan aspek penghakiman dalam kes zina dan rogol dengan menyiarkan lakaran kartun seperti ini.

Justeru, kata beliau, pihaknya menuntut supaya Utusan Malaysia menarik balik lakaran kartun ini dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas kebiadapan menghina Islam dan sistem perundangannya.

“Utusan Malaysia juga sewajarnya layak diisytiharkan sebagai akhbar biadap yang paling bangsat di Malaysia di atas penyiaran lakaran kartun ini,” katanya.

The Malaysian Insider