Wednesday, June 8, 2011

Persatuan Pengguna Ancam Boikot Astro Bantah Kenaikan Caj Langganan


KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengancam akan menggerakkan usaha memboikot Astro ekoran langkah stesen televisyen berbayar itu untuk menaikkan caj langganan mulai Julai ini.

Sambil menyifatkan kenaikan itu sebagai membebankan pengguna, Penasihat PPIM Tengku Azwil Tengku Abdul Razak meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyiasat apa yang dinamakan oleh Astro itu sebagai "penyelarasan caj langganan" yang baru.

Beliau memberitahu pemberita di sini Rabu bahawa sebagai pengendali stesen televisyen berbayar eksklusif di negara ini, Astro tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan ketika rakyat dibebani kenaikan harga barangan.

Astro pada Isnin lepas mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Tengku Azwil berkata PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kadar pelarasan itu serta juga mengenai perkhidmatan Astro.

Beliau berkata sekiranya Astro gagal mengekalkan yuran langganan sedia ada, PPIM serta ahli gabungan akan memboikot syarikat penyiaran berbayar itu.

"Kita ada 2.5 juta ahli gabungan di bawah PPIM. Banyak lagi berita serta hiburan yang boleh kita peroleh daripada stesen televisyen percuma," katanya.

Tengku Azwil juga berkata kebanyakan program sukan yang membabitkan kepentingan negara seperti Liga Super telah diambil alih oleh Astro.

"Semua diambil oleh Astro pasal mereka berkemampuan untuk membeli program berkenaan. Justeru, rakyat yang ingin menonton program-program berkenaan harus melanggan kepada Astro, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan suatu ruangan kepada pengguna Astro di negara ini mengenai komen mereka terhadap syarikat penyiaran berkenaan.

"Dalam ruangan yang boleh dilayari di www.muslimconsumer.org.my itu, mereka (pelanggan Astro) boleh memberi maklumat balas kepada PPIM mengenai perkhidmatan Astro," katanya.



-- BERNAMA

Tuesday, June 7, 2011

http://oviappwizard.com/t/iTTNIQ


Sent from my e90 communicator

Omong Kosong Bakal Perdana Menteri Malaysia


KOMENTAR : Rakyat  bimbang dengan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarnai dengan kenaikan harga barangan, pemotongan subsidi dan sebagainya. Namun mereka harus  lebih gusar jika Tan Sri Muhyidin Yassin menjadi Perdana Menteri baru pada satu masa kelak. 

Kenyataan-kenyataan Muhyiddin sejak akhir-akhir ini menampakkan seorang pemimpin yang mengharapkan retoriknya  dan pengumuman “ peruntukan satu dua juta ringgit” ke mana sahaja beliau pergi adalah cukup untuk menarik sokongan rakyat. 

Tidak apa jika retorik itu adalah pembohongan semata-mata – contohnya di Sarawak, beliau  mengumumkan Malaysia adalah sebuah Negara Maju kepada pengundi Iban di rumah panjang.  Umum tahu kita masih, lebih-lebih lagi sekarang, dikategorikan sebagai Negara Membangun.  
 
Di Pahang, bulan lalu,  Muhyiddin  dengan selamba memberitahu masyarakat petani, kononnya hanya Malaysia satu-satu negara yang memberikan subsidi kepada rakyat.  

Sekali lagi, beliau lupa masyarakat tani juga mempunyai anak pinak berpelajaran yang tahu sistem subsidi diamalkan di hampir semua negara termasuk Amerika Syarikat.  

Semalam pula beliau memberi  satu lagi “bola tanggung”  - Malaysia menurut Muhyiddin sudah lama menjadi negara berkebajikan kerana menyediakan subsidi untuk barangan dan pendidikan percuma serta  rawatan hospital pada kadar yang nominal.

Kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menempelak komitmen PAS menubuhkan Negara Berkebajikan seperti mana yang dituntut oleh Islam. 

Persoalan mudah yang perlu ditanya kepada Muhyiddin ialah, jika Malaysia sudahpun menjadi Negara Berkebajikan kerana memberi  subsidi kepada rakyat,  maka kenapa subsidi itu kini dipotong dan ditarik balik manakala harga barangan dibiarkan naik? 

Oh ya! Kerajaan Umno-BN terpaksa berbuat demikian kerana defisit negara semakin mengembang – 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

Persoalan seterusnya:  kenapa defisit dibiarkan begitu tinggi sepanjang zaman pemerintahan Umno-BN? Adakah ia berpunca daripada sikap boros dalam pengurusan kewangan? Bagaimana dengan faktor penyelewengan dan ketirisan? 

Kenapa kerajaan dari zaman Mahathir hingga sekarang terus membiarkan defisit negara ini meningkat, dan subsidi untuk syarikat-syarikat IPP pula dilindungi  manakala kadar elektrik untuk rakyat dinaikkan?

Siapakah yang bertanggunjawab di atas kos sara hidup tinggi yang dibebankan kepada rakyat – adakah ia salah Mahathir, Pak Lah  atau Najib atau ketiga-tiga mereka sekali? 

Rasanya Muhyiddin akan lebih bijak dan jujur di mata rakyat jika beliau cuba menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur dan mengurangkan retorik. 

Rasanya,  tidak perlulah beliau mendakwa Malaysia sudah pun menjadi Negara Berkebajikan selagi rakyat dipaksa menerima pelbagai kenaikan harga barangan manakala kontrak-kontrak lumayan dibolot oleh juak-juak tertentu yang berkait dengan Umno.

Sehingga hari ini Muhyiddin dan menteri-menteri lain mengelak daripada memberi maklumat mengenai  kontrak yang diikat dengan IPP mahupun kontrak yang dinikmati oleh syarikat konsesi air di Selangor. 

Negara Berkebajikan bermakna pemerintah yang telus, amanah dan sentiasa mengembalikan nikmat hasil bumi kepada rakyat dan tidak memperkayakan diri. 

Negara Berkebajikan tidak bermaksud memberi  komisyen  “atas angin”  RM500 juta  kepada syarikat kroni  kononnya untuk menguruskan pembelian  kapal selam yang  akhirnya  tidak boleh menyelam. 

Masa sudah sampai untuk Muhyiddin memperlihatkan ketokohan,  akal minda dan nilai-nilai Islam dan jatidiri unggulnya sendiri  jika beliau mahu terus menjual dirinya sebagai seorang yang bakal mewarisi kepimpinan negara. 

Sekadar retorik dan menabur pengumuman peruntukan di sana sini sahaja tidak akan memadai.       
                

sumber: http://www.tvsnews.net/

Monday, June 6, 2011

Geram kumpul tandatangan bantah harga air naik


JASIN, 6 Jun: Gerakan Anak Muda Melaka (Geram) bersama rakan Pakatan Rakyat meneruskan kempen jelajah ke seluruh negeri Melaka bagi mendapatkan tandatangan penduduk sebagai tanda membahtah kenaikan harga air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Jelajah kali kedua di Pasar Besar Jasin semalam mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat yang rata-rata tidak berpuas-hati dengan kenaikan bil air tersebut.

Seorang peniaga kedai runcit, Lim Pin Seng, 65, yang di temui di pasar besar tersebut mengeluh dengan kenaikan tersebut.

“Setiap hari harga barang naik, dulu minyak naik, kemudian air naik dan sekarang elektrik pula naik, ini sangat membebankan saya sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di sini,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga.

Ada pengunjung yang ditemui tidak sedar kenaikan hargal air sejak 1 April lalu memandangkan notis rasmi tidak dikeluarkan oleh SAMB.

“Saya langsung tak tahu dan tak di maklumkan tentang kenaikan air, sedar-sedar terpaksa membayar lebih walaupun penggunaan hampir sama setiap bulan,” ujar Yusof Ahmad dari Jasin.

Kadar lama tariff air adalah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 1-15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-40 meter padu berikutnya dan RM1.33 sen untuk setiap meter padu berikutnya.

Manakala kadar baru pula ialah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-30 meter padu berikutnya, 0.95 sen bagi setiap meter padu untuk 30.1-35 meter padu berikutnya dan RM1.45 sen bagi setiap meter padu berikutnya.

Kenaikan sebanyak 20% berbanding sebelumnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif SAMB bagi mendapatkan maklum balas tentang tarif baru air dan jawapan yang diberikan adalah disebabkan arahan dari pusat.

Harakahdaily/-
Oleh : Muhamad Aizat Bahrudin

Tarif Elektrik Naik: Tan Sri Ani Arope Bantah Perjanjian yang Tidak Adil

Akhirnya kita tahu kenapa Ani Arope berhenti


TEMERLOH, 6 JUN: 15 tahun yang lalu, Tan Sri Ani Arope mengejutkan seluruh negara dengan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Akhirnya rakyat hari ini tahu bahawa peletakan jawatannya dilakukan demi menjaga kepentingan mereka, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Ramai yang menganggap (pengunduran Ani) sebagai satu tindakan biasa seorang staf yang meletakkan jawatan, mungkin faktor umur atau prestasi kerja.

"Hari ini, kita tahu ianya adalah kerana sikap tegasnya dalam membantah perjanjian yang sangat tidak adil antara TNB dan IPP (pengeluar bebas kuasa elektrik),” kata Tuan Ibrahim hari ini.


Ani sebelum ini di laman Facebooknya menyelar tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik baru-baru ini sebanyak 7 peratus 1 June yang lalu dengan mendakwa ia berpunca daripada perjanjian yang tidak adil dengan IPP dan TNB.

“Anda tidak perlu pergi ke sekolah bisnes yang canggih untuk memahami mengapa kita memerlukan peningkatan tarif – Cuma perlu tengok balik syarat-syarat yang diberikan kepada IPP.

"Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.

“Bagus EPU — Unit Penyamun Ekonomi,” tulis beliau di laman Facebooknya minggu lalu.

Ani mencetuskan kontroversi 15 tahun yang lalu apabila beliau lebih rela melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.
Ani turut berkata TNB tidak boleh dipersalahkan atas hal ini kerana mereka tidak mempunyai
kuasa untuk mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP.

“TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan bekas Naib Presiden PAS, apa yang dibimbangi Ani kini menjadi kenyataan apabila kerajaan Barisan Nasional berdolak-dalih untuk menyemak semula perjanjian dengan IPP yang sangat tidak adil walaupun didesak pelbagai pihak.

“Kerajaan tidak sanggup bertegas memotong subsidi sebanyak RM19 billion untuk IPP berbanding tindakan mereka memotong subsidi ke atas keperluan rakyat.

"Hari ini rakyat merasa bangga di atas ketegasan Tan Sri Ani Arop menentang dasar yang tidak adil ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan beliau dalam menentang kemungkaran ekonomi yang dibuat tangan Umno Barisan Nasional ini,” tambah Tuan Ibrahim.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus bermula Jun 1 itu adalah sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara.

Ia ekoran keputusan kabinet untuk menaikkan harga gas asli kepada RM3 mmBTU setiap enam bulan, dari RM10.70 juta unit termal British (mmBTU) kepada RM13.70 mmBTU sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016.


Harakahdaily

Harga naik: Rakyat mula mengeluh

Pengurangan subsidi ke atas barangan keperluan asas, termasuk gula dan petrol RON97 dan terbaru gas asli yang menyebabkan tarif elektrik terpaksa dinaikkan mula memberi kesan kepada orang ramai daripada pelbagai lapisan.

NONEPengurangan subsidi itu menurut mereka telah melonjakkan harga makanan dan menjejaskan perbelanjaan seharian mereka. Malah, ada mahasiswa mendakwa terpaksa 'mencatu' makanan akibat kesan berantai itu.

“Makanan mahal, kena belanja (lain) lagi. (Kami) kurangkan perbelanjaan makanan, kurang makan,” kata pelajar Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) N Mahesh Nanthakumar.

NONEMahesh, 21, malah turut menyatakan keinginan untuk menyertai demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya jika ada pihak yang menganjurkannya.

“Saya akan sertai demonstrasi,” kata Mahesh (kanan) ketika ditanya kesediaannya itu ketika ditemui di KL Sentral di ibu negara, semalam.

Daripada tujuh orang yang ditemubual Malaysiakini secara rambang semalam, semua mereka mempunyai pandangan berbeza-beza berhubung kenaikan harga barang yang dikritik hebat pembangkang.

Kerja sambilan

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, harga subsidi barangan keperluan dikurangkan. Antaranya, petrol RON97 kini mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter.

NONETarif elektrik pula naik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun manakala harga gula meningkat 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa pada Mei.

Menurut sesetengah ahli ekonomi, kenaikan itu, terutamanya tarif elektrik, secara tidak langsung akan membebankan pengguna apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada golongan itu.

Sementara itu, seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Syazana Shah Lan, 21, memberitahu, beliau kini terpaksa berfikir terlebih dahulu sebelum membeli makanan.

“Terasalah (peningkatan harga), yang itu memang terasalah. Sebab (saya) duduk universiti, duduk asrama, hendak makan kena fikir. Makanan memang mahal, makan sekali, dua kali (sehari) macam itulah,” katanya.

NONENamun bagi seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Alvin, kehidupan hariannya tidak terjejas secara langsung dengan pengurangan subsidi oleh kerajaan itu.
Mahasiswa sebuah kolej swasta di Sungai Buloh itu, bagaimanapun, mengakui beliau masih tidak puas hati kerana keluarganya kini merasai tempiasnya.
Mahu tukar kerajaan

“Kalau waktu cuti, saya bantu ayah (kerja sambilan),” katanya lagi.

Justeru, Alvin, 22 berharap agar kerajaan dapat menggalakkan lagi pelaburan asing ke dalam negara bagi menstabilkan semula kenaikan harga barang.

NONEKeadaan ini hampir sama dengan nasib seorang pelajar German Malaysian Institute (GMI) Mohd Amiruddin Roslan yang masih tinggal bersama keluarganya.

“Saya tak rasa mana, saya tinggal dengan mak ayah,” kata Mohd Amiruddin, 18, sambil memberitahu orang tuanya merupakan seorang guru.

Bagi Harzuki Ismail – pegawai teknikal di sebuah pengeluar minyak terkemuka – pula, kenaikan harga petrol tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan negara pengeluar komoditi itu.
Harzuki, 53, berpendapat, keadaan sekarang amat merungsingkan kerana ia memberi kesan kepada kenaikan harga barang dalam keadaan nilai pendapatan makin menurun.
NONELebih drastik lagi, beliau merasakan sistem pemerintahan negara perlu ditukar.

“(Tetapi) demonstrasi tak perlu, cuma tukar pimpinan negara. Tak payah (ada) pertumpahan darah. Pemikiran orang kita (harus) tukar, itu lebih penting,” katanya.
'Kerjaaan juga perlu berjimat'
Bagi Alan Tan – seorang orang kurang upaya (OKU) – pula, walaupun beliau tidak bersetuju dengan kenaikan yang berlaku, beliau berharap tujuan kerajaan melakukannya dapat diselami terlebih dahulu.

“Mereka juga ada komitmen (pada rakyat), ada (beri) subsidi,” katanya yang diberhentikan kerja setelah lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar sebelum ini.

Manakala seorang jurujual Norjamilah Mohd Halim juga mengaku turut terkesan dengan kenaikan harga barang-barang tersebut kerana gaji orang kebanyakan “tak sebesar mana”.

NONE“Dari segi makanan tidak berbaloi, ambil sikit (pun) harga mahal,” katanya wanita berusian 29 tahun itu.

“Kalau boleh turunkan harga barang,” katanya lagi.
Sebahagian besar mereka juga berkata selain subsidi rakyat yang dikurangkan, kerajaan juga harus membuktikan kesungguhan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan menghentikan projek mewah serta tidak membawa manfaat kepada orang ramai.

Wednesday, June 1, 2011

Barang Naik: Indonesia mampu turunkan harga minyak, kenapa Malaysia tidak?

KENYATAAN MEDIA
Pejabat Ketua Penerangan PAS Perak.


Saya suka untuk mengulas tindakan PT Pertamina Indonesia semacam Petronas di Malaysia yang mengambil tindakan untuk kali kedua kelmarin dalam tempoh seminggu

Sedangkan pada isnin lepas Pertamina baru saja menurunkan harga minyak yang terdiri dari Pertamax/Bio Pertamax, Pertamax Plus, dan Pertamina Dex ini. Penurunan itu semacam menjadi satu persaingan bila dua syarikat saingan Pertamina iaitu Shell dan PT Total Oil Indonesia turut menurunkan harga minyak jenis yang sama pada hari Selasa lepas .

Penurunan itu adalah antara Rp 200 hingga Rp 600 per liter atau dalam Ringgit Malaysia antara RM 0.07 hingga RM 0.21.

Tindakan yang diambil oleh Kerajaan Republik Indonesia itu bagi saya merupakan satu jawapan yang jelas kepada apa yang telah dikatakan oleh Pakatan Rakyatat di Malaysia bahawa kerajaan sepatutnya memikirkan untuk menurunkan harga minyak.

Pakatan Rakyat menegaskan berulang bahawa Malaysia mampu menurunkan harga minyak bila BN jadi pembangkang selepas PRU ke 13 nanti. Malah ada isu yang mengatakan sepatutnya harga minyak di Malaysia sekiranya pengurusan ekonomi negara tidak pincang selama 50 tahun lebih sebenarnya boleh sampai ke tahap RM 0.60 seliter dan tidak semahal sekarang.

Dimanakah pemimpin UMNO dan BN yang sering mengatakan ekonomi Malaysia yang lebih baik dari Indonesia sedangkan dia tidak mampu untuk membela rakyatnya dengan menurunkan harga minyak.

Ternyata Pemimpin BN berbohong kepada rakyat Malaysia dengan tidak mampu mebela nasib rakyatnya yang duduk dalam keadaan tertekan dan dihimpit resiko kenaikan harga barang apabila setiap kali harga minyak naik.

Kalaupun pernah dilakukan oleh PM Pak Lah sebelum ini, kenapa juga PM Najib tidak mampu melakukannya?

Realitinya pemim[pin BN sekarang menjadi penghisap darah kepada rakyat dengan sewenangnya menaikkan harga minyak RON 97 dan pada bila-bila masa RON 95 akan mengalami kenaikan harga.

Penurunan harga minyak sangat berkaitan dengan langkah jimat cermat sebuah kerajaan dalam berbelanja dan langkah membenteras rasuah khususnya dalam batang tubuh syarikat pengendali minyak negara Petronas.

Bayangkan sekiranya semua kos yang berkaitan dengan Petronas sangat mahal harganya
dan dikaitkan dengan kepentingan kroni dan rasuah menyebabkan Petronas menjadi tempat pihak tertentu untuk mengaut keuntungan peribadi sedangkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan kos berganda itu dengan harga minyak yang mahal.

Contohnya sebuah stesen minyak yang ingin dibina di sebuah tanah kampung yang terpencil yang sangat murah harganya akan digandakan harga tanah itu sehingga lebih 10 kali ganda. Keaadan ini menyebabkan menyebabkan kos berganda termasuk lah dalam semua urusan lain yang berkaitan dengan Petronas sehingga mengheret rakyat untuk membayar lebih bagi setiap liter minyak.

Saya yakin sekiranya semua langkah dilakukan dalam menyusun kembali pengendalian urusan Petronas termasuk wang hasil negara itu diauditkan maka sesuatu yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak akan menjadi kenyataan.

Apapun rakyat mesti memastikan dahulu dalam PRU ke 13 akan BN diletakakan sebagai pembangkang dan memberi harapan kepada Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia yang semakin kritikal.

Kenyataan Media, DRS. KHALIL IDHAM LIM, PARIT BUNTAR, 2 Jun 2011.

sumber: http://idhamlim.blogspot.com/2011/06/indonesia-mampu-turunkan-harga-minyak.html