Tuesday, June 7, 2011

Omong Kosong Bakal Perdana Menteri Malaysia


KOMENTAR : Rakyat  bimbang dengan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarnai dengan kenaikan harga barangan, pemotongan subsidi dan sebagainya. Namun mereka harus  lebih gusar jika Tan Sri Muhyidin Yassin menjadi Perdana Menteri baru pada satu masa kelak. 

Kenyataan-kenyataan Muhyiddin sejak akhir-akhir ini menampakkan seorang pemimpin yang mengharapkan retoriknya  dan pengumuman “ peruntukan satu dua juta ringgit” ke mana sahaja beliau pergi adalah cukup untuk menarik sokongan rakyat. 

Tidak apa jika retorik itu adalah pembohongan semata-mata – contohnya di Sarawak, beliau  mengumumkan Malaysia adalah sebuah Negara Maju kepada pengundi Iban di rumah panjang.  Umum tahu kita masih, lebih-lebih lagi sekarang, dikategorikan sebagai Negara Membangun.  
 
Di Pahang, bulan lalu,  Muhyiddin  dengan selamba memberitahu masyarakat petani, kononnya hanya Malaysia satu-satu negara yang memberikan subsidi kepada rakyat.  

Sekali lagi, beliau lupa masyarakat tani juga mempunyai anak pinak berpelajaran yang tahu sistem subsidi diamalkan di hampir semua negara termasuk Amerika Syarikat.  

Semalam pula beliau memberi  satu lagi “bola tanggung”  - Malaysia menurut Muhyiddin sudah lama menjadi negara berkebajikan kerana menyediakan subsidi untuk barangan dan pendidikan percuma serta  rawatan hospital pada kadar yang nominal.

Kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menempelak komitmen PAS menubuhkan Negara Berkebajikan seperti mana yang dituntut oleh Islam. 

Persoalan mudah yang perlu ditanya kepada Muhyiddin ialah, jika Malaysia sudahpun menjadi Negara Berkebajikan kerana memberi  subsidi kepada rakyat,  maka kenapa subsidi itu kini dipotong dan ditarik balik manakala harga barangan dibiarkan naik? 

Oh ya! Kerajaan Umno-BN terpaksa berbuat demikian kerana defisit negara semakin mengembang – 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

Persoalan seterusnya:  kenapa defisit dibiarkan begitu tinggi sepanjang zaman pemerintahan Umno-BN? Adakah ia berpunca daripada sikap boros dalam pengurusan kewangan? Bagaimana dengan faktor penyelewengan dan ketirisan? 

Kenapa kerajaan dari zaman Mahathir hingga sekarang terus membiarkan defisit negara ini meningkat, dan subsidi untuk syarikat-syarikat IPP pula dilindungi  manakala kadar elektrik untuk rakyat dinaikkan?

Siapakah yang bertanggunjawab di atas kos sara hidup tinggi yang dibebankan kepada rakyat – adakah ia salah Mahathir, Pak Lah  atau Najib atau ketiga-tiga mereka sekali? 

Rasanya Muhyiddin akan lebih bijak dan jujur di mata rakyat jika beliau cuba menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur dan mengurangkan retorik. 

Rasanya,  tidak perlulah beliau mendakwa Malaysia sudah pun menjadi Negara Berkebajikan selagi rakyat dipaksa menerima pelbagai kenaikan harga barangan manakala kontrak-kontrak lumayan dibolot oleh juak-juak tertentu yang berkait dengan Umno.

Sehingga hari ini Muhyiddin dan menteri-menteri lain mengelak daripada memberi maklumat mengenai  kontrak yang diikat dengan IPP mahupun kontrak yang dinikmati oleh syarikat konsesi air di Selangor. 

Negara Berkebajikan bermakna pemerintah yang telus, amanah dan sentiasa mengembalikan nikmat hasil bumi kepada rakyat dan tidak memperkayakan diri. 

Negara Berkebajikan tidak bermaksud memberi  komisyen  “atas angin”  RM500 juta  kepada syarikat kroni  kononnya untuk menguruskan pembelian  kapal selam yang  akhirnya  tidak boleh menyelam. 

Masa sudah sampai untuk Muhyiddin memperlihatkan ketokohan,  akal minda dan nilai-nilai Islam dan jatidiri unggulnya sendiri  jika beliau mahu terus menjual dirinya sebagai seorang yang bakal mewarisi kepimpinan negara. 

Sekadar retorik dan menabur pengumuman peruntukan di sana sini sahaja tidak akan memadai.       
                

sumber: http://www.tvsnews.net/

No comments:

Post a Comment