6:08PM Feb 21, 2012 |
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian parti Islam itu tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, walaupun pandangannya mungkin berbeza dengan pihak lain.
"Saya ingin mengulangi pendirian saya dah Majlis Syura serta pendirian PAS khususnya bahawa tidak sekali-kali mengiktiraf walaupun seinci pun hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas pada hari ini.
"Berbeza atau tidak dengan sesiapa, PAS tetap dengan pendirian ini," katanya yang juga menteri besar Kelantan.
Nik Aziz pada 14 Februari lalu meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang didakwa menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan The Wall Street Journal atau menyaman media itu jika laporannya tidak benar.
Berikutan itu, berlaku ketegangan seketika di kalangan penyokong Pakatan Rakyat. Namun, selepas pertemuan kedua-dua pemimpin utama pembangkang itu pagi tadi, Anwar berkata, mereka kini saling faham pendirian masing-masing, termasuk PAS yang tegas tentang Israel.
Dalam kenyataan di Facebook merujuk perkara itu petang ini, Nik Aziz bagaimanapun tidak menyentuh langsung sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Anwar kepadanya hari ini.
Nik Aziz sebaliknya mengambil peluang menempelak "pihak yang kelihatan sangat anti-Yahudi" tetapi tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.
"Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis!" katanya merujuk dakwaan kapal Israel dikesan berlabuh di Pelabuhan Klang.
NGO mesra PKR, JINGGA 13, semalam membekalkan "bukti" menunjukkan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang.
Mendedahkan dokumen dari Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, Jingga 13 mendakwa kapal Zim Atlantic yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu datang secara langsung dari pelabuhan Ashdod di Israel.
Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel.
Justeru, katanya, kapal-kapal yang dimiliki oleh Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan di Malaysia untuk tujuan perdagangan tetapi dengan syarat bahawa anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang daripada mendarat.
Source: http://malaysiakini.com/news/189850
No comments:
Post a Comment