Wednesday, December 28, 2011

Gambar : Restoran mewah keluarga Shahrizat di Singapura

Gambar : Restoran mewah keluarga Shahrizat di Singapura:
Jam 2.00 Petang ini (29 Disember 2011) satu tayangan video eksklusif kondominium mewah Orchrad Scott dan restoran mewah MeatWorks ION Orchrad milik keluarga Shahrizat di Singapura yang dibeli menggunakan duit anda dan juga duit aku yang diperuntukkan kepada keluarganya sebagai dana untuk menternak lembu.


Tayangan video ini akan turut dihadiri oleh Ketua Wanita Keadilan, Yb Hajjah Zuraida Kamarudin dan Pengarah Strategik PKR, Saudara Rafizi Ramli.

Sebelum itu.. apa kata kita lihat dulu sedikit gambar-gambar restoran mewah MeatWorks ION Orchrad milik keluarga di Singapura..


Di restoran mewah inilah salah satu destinasi terakhir daging-daging lembu dari ladang NFC dihantar.


Aktivis Jingga 13 dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri, kehebatan Restoran makanan mewah, MeatWorks yang terletak di dalam bangunan sebuah pusat membeli belah mewah yang terletak di tengah-tengah kota Singapura itu.

Setibanya kami di situ, kami disapa oleh seorang pekerja wanita berbangsa cina. Salah seorang aktivis Jingga 13, Kwan Chen memberitahu bahawa wanita itu berasal dari Negara Cina berdasarkan dialek dan cara pertuturannya.


Kehadiran kami sekitar hampir jam 1:30 petang menyaksikan tiada pengunjung yang hadir untuk menjamu selera di situ. Berbeza dengan restoran bersebelahan yang dipenuhi pelanggan.


Oleh kerana bimbang dengan harga makanan di MeatWorks ini yang terlalu mahal, maka kami mengambil keputusan untuk tidak memesan sebarang makanan mahupun minuman, sebaliknya sekadar duduk sebentar untuk merakam gambar.

Tambahan pula kami bimbang dengan status halal makanan dan minuman di restoran ini kerana tiada sebarang logo ataupun sijil Halal keluaran Majlis Ugama Islam Singapura, Muis dipaparkan.


Nampaknya sudah terang lagi bersuluh. Wang rakyat RM257 juta yang disalurkan kepada NFC untuk melaksanakan projek impak tinggi membekalkan daging seluruh Malaysia sudah jadi projek impak tinggi bekalkan daging ke restoran mewah menteri.

Bekalan daging lembu di negara sendiri pun masih tak cukup, boleh pula bekalkan daging untuk negara jiran Singapura?

Senang betul jadi keluarga menteri. Nak meniaga boleh pakai duit rakyat RM257 juta bagi alasan nak bantu negara. Tak pernah bela lembu pun boleh dapat projek ratusan juta ringgit.

Siap boleh beli kondo mewah merata negara, beli kereta mewah ratusan rubu ringgit, beli tanah bagai. Apa ada hal? Kalau kantoi wanita Umno boleh tolong back up.

Upah RM500, bagi kain sutera 4 ela sorang dah boleh singsing lengan berdiri belakang Shahrizat masa Shahrizat nak selak kain kah kah kah... Tak percaya tanya wanita-wanita Umno yang berdiri belakang Shahrizat. jangan bohong Allah nampak...

Sumber : Milo Suam

Tuesday, December 27, 2011

PAS sampaikan ucapan tahniah kepada Ikhwan Mesir

PAS sampaikan ucapan tahniah kepada Ikhwan Mesir:
3 Safar 1433H. [MOD] -

KAHERAH, 28 Dis: PAS menyampaikan ucapan tahniah kepada Ikwanul Muslimin Mesir yang menang besar dalam pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.

(Syed Azman [kanan] berbual dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’ di pejabatnya dekat Kaherah)

Ucapan itu disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agong PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kunjungan singkat ke Mesir baru-baru ini dan sempat bertemu serta bertukar maklumat dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’.

Pertemuan yang mewakili Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu adalah sempena kehadiran beliau sebagai anggota rombongan ahli pemerhati antarabangsa Pilihan raya Mesir di bawah seliaan PBB yang sedang berjalan sekarang.

Dalam pertemuan di pejabat baru Ikhwan yang tersergam indah itu, Dr Syed Azman telah menyampaikan ucapan tahniah seluruh kepimpinan PAS terutamanya Ustaz Hadi dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas kemenangan besar awal parti politik gabungan Ikhwan, ‘al-Hurriyat wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) atau Freedom and Justice Party (FJP).

FJP meraih majoriti kerusi di seluruh Mesir. Ini merupakan penanda awal terhadap perjuangan rakyat Mesir bagi membebaskan negara mereka daripada pemerintahan kuku besi bekas Presiden Mubarak.

Begitu juga dengan sokongan penuh PAS kepada seluruh kepimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang
sejak sekian lama telah diharamkan dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti politik oleh pemerintah Mubarak.

Menurut Dr Badie’, seluruh petugas Ikhwan Muslimin sedang sibuk mengadakan kempen di seluruh Mesir di bawah gabungan parti FJP dan sedang mengatur persiapan bagi meghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun 2012.

Suasana baru ini juga sedang dimanfaat oleh Ikhwan bagi membangunkan semula negara Mesir bersesuaian dengan ciri-ciri yang lebih bersifat demokratik.

(Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini)

Harakah Daily

Pemuda PAS bantah pindah kes murtad ke mahkamah sivil



KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pemuda PAS membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahu membawa kesemua kes murtad ke mahkamah sivil dan bukan lagi Mahkamah Syariah seperti sebelum ini.

Ini berdasarkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.
Media melaporkan, kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada di mahkamah sivil.

“Kes murtad nanti akan berada di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam.

“Jadi, saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujar Jamil Khir selepas mengadakan pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin.
"Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa terkejut kerana kerajaan membuat keputusan ini tanpa melihat kepada kesan kes ini terhadap umat Islam di negara ini serta merujuk kepada nasihat para ulama’ terlebih dahulu.

"Sepatutnya kes seperti ini dirujuk dahulu dengan semua pihak supaya tidak menimbulkan pertikaian dan bantahan di kemudian hari," kata Exco Dewan Pemuda PAS, Mohamad Firdaus Jaffar (gambar atas) dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jerai berkata, DPP Malaysia melihat keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu ini amat merbahaya dan merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.

"DPP Malaysia mempersoalkan, jika ianya dilaksanakan nanti, bagaimanakah mahkamah sivil boleh memutuskan sesuatu hukuman yang berkait dengan syariat Islam sedangkan mahkamah sivil tiada kuasa memutuskan hal-hal yang berkait dengan undang-undang Islam?

"DPP Malaysia khuatir apakah hukuman kepada pesalah murtad nanti akan berdasarkan kepada hukuman Islam atau sebaliknya.

"Kalau demikian, apakah bidang kuasa mahkamah syariah sekiranya kes murtad juga akan dibicarakan di mahkamah sivil?" katanya.

DPP Malaysia berpandangan, kesan daripada keputusan ini adalah kuasa mahkamah syariah semakin mengecil dan kurang berperanan.

Mahkamah syariah hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil seperti nikah, talak, harta pusaka dan lain-lain.

Manakala kes-kes besar seperti murtad, jenayah, dan lain-lain pula dirujuk kepada mahkamah sivil yang mempunyai peranan yang besar, katanya.

"Inilah sistem sekularisma yang masih diamalkan dinegara ini selama ini yang memisahkan antara perundangan menurut Islam dengan bukan Islam.

"Selain itu, hukuman terhadap pesalah murtad juga akan dipandang ringan, malah boleh dicabar oleh mereka yang bukan Islam," tegas beliau.

Apa yang amat dibimbangkan, katanya, adalah hukuman murtad boleh dipermain-mainkan oleh sesetengah pihak sehingga merendahkan kesucian Islam.

Oleh itu, DPP Malaysia mendesak supaya Datuk Seri Jamil Khir Baharom menarik semula usaha membawa undang-undang murtad ke mahkamah sivil.

"Beliau perlu ingat bahawa undang-undang pencegahan murtad seperti yang terkandung di dalam perundangan Islam yang sebenar adalah hukuman yang datangnya dari Allah SWT, bukan direka-reka oleh sesiapa pun.

"Mengubah hukum Islam yang terkandung didalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW, adalah suatu dosa yang besar dan boleh menyebabkan akidah seseorang itu tergelincir," katanya. /-harakahdaily.net