Friday, January 13, 2012

Penyelewengan Wang Zakat. Siri 2



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam merupakan suatu kenyataan yang amat pelik dan mengelirukan.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, DPPM merasa kesal kerana Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Katanya, DPPM mempersoalkan, bagaimana Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Ini, ujarnya kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil.

“Adakah usaha mempertahankan kes Anwar daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’?

“Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil?” soalnya.

Selain itu, kata beliau sekiranya benar duit zakat yang digunakan oleh Datuk Seri Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik.

Soalnya lagi, mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat.

Beliau berkata, pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.

“Adakah dengan kenyataan Datuk Che Mat menunjukkan MAIWP mengakui bahawa kos pendahuluan untuk kes guaman tersebut menggunakan duit zakat?” katanya.

Jika begitu, kata beliau mengapa daripada awal MAIWP dan Jamil Khir menafikan penggunaan duit zakat sebaliknya menjelaskan ia diambil dari peruntukan kerajaan.

Jika Che Mat mengakui demikian, ujar beliau ia bermakna MAIWP dan Jamil Khir telah berbohong kepada rakyat sehingga akhirnya terpaksa mengakui malah membenarkan penggunaan duit zakat atas alasan untuk ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Sudahlah berbohong, menghalalkan penggunaan duit tersebut pula demi mendaulatkan Islam, seolah-olah bagi Datuk Che Ali, duit itu adalah halal untuk kegunaan kos guaman Datuk Seri Jamil Khir dan beberapa orang yang lain,” ujarnya.

DPPM, ujarnya musykil adakah dengan kenyataan itu ia bermaksud mereka yang mempunyai kes mahkamah dengan isu yang sama seperti Jamil Khir berhak mendapat zakat sebagaimana keistimewaan yang diterima oleh beliau.

Jika demikian, tambah beliau DPPM akan mewar-warkan kepada umat Islam yang mempunyai kes mahkamah atas isu yang berkaitan boleh memohon zakat kerana alasan ‘ingin mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Mungkinkah umat Islam boleh mendapat hak dan layanan yang sama seperti yang dinikmati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri?” tanya beliau.

sumber: http://www.eperjuangan.com

Isu Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Isu Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Yb. Datuk Jamil Khir Baharom
Mesti Meletakkan Jawatan


1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa. Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.

2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :

a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari.

b] Datuk Che Mat Che Ali Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.]

3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.

b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ada pihak halang saya guna dakwat - Tan Sri Rashid

Written by M Faqih  
Jumaat, 13 Januari 2012 11:49
KOTA BHARU, 13 Jan: “Saya dah nak buat pada pilihan raya umum lalu, namun ada pihak yang halang,” kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengulas cadangan menggunakan dakwat pada pilihan raya umum akan datang.
Kata beliau kalau kerajaan hendak buat sekarang elok benarlah kerana cadangan itu sudah cuba dilakukan SPR pada pilihan raya umum lepas namun ada halangan tertentu.

Isu penggunaan dakwat menghangatkan Wacana Perdana anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Centre malam tadi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nazri Abdul Aziz cuba berdalih setelah pekungnya didedah Abdul Rashid.
Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen itu bersama anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa juga bertindak sebagai ahli panel pada wacana siri ke-9 terbabit. Prof Madya Datuk Dr Muhamad Agus Yusof dari UKM bertindak sebagai moderator.

Dewan konvensyen penuh sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk dari luar Kelantan.
Pihak penganjur, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri terpaksa memasang layar di luar dewan, menyebabkan orang ramai melimpah ke jalan raya. Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Nazri menyebut ketika itu kerajaan tidak dapat melaksanakan penggunaan dakwat pada hari mengundi kerana ada percanggahan dengan perlembagaan dan ada pihak yang menganggap sebagai meragukan.
Sebaliknya, Abdul Rashid mempertahankan hujah penggunaan dakwah pada jari pengundi tidak perlu kepada pindaan perlembagaan, dan ia sekadar melibatkan peraturan di peringkat SPR sahaja.

“Sama seperti arahan setiap pengundi perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum diberi kertas undi. Syarat itu hanya peraturan di peringkat SPR sahaja dan tidak perlu kepada pindaan perlembagaan,” katanya.

Malah Husam mengambil peluang mencelah dengan menjelaskan JAKIM sudah mengeluarkan kenyataan dakwat boleh digunakan pada hari mengundi sejak 2007 lagi.

Abdul Rashid juga seakan-akan meluah rasa kecewa memandangkan SPR tidak diberi kuasa penuh bagi mengendalikan pilihan raya secara lebih berkesan, sambil menyifatkan apa yang cuba dilakukan kerajaan sekarang sekadar merubah di bahagian ekor dan bukannya kepala.

“Kepala tidak disentuh hanya ekor sahaja disentuh melalui Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya. Sepatutnya perubahan perlu dibuat secara lebih menyeluruh.  Perubahan perlu kepada political will.

“Apa yang perlu diubah macam tidak disentuh. Sepatutnya kita perdalamkan perbincangan mengenai demokrasi itu sendiri. SPR sejak 1959 hanya berkongsi kuasa dengan pihak lain dan tidak mempunyai kuasa penuh.

“SPR berkongsi kuasa dengan pihak polis, Jabatan Penerangan dan jabatan-jabatan lain lagi. Kuasa yang ada pada SPR tidak kuat,” ujarnya mendapat sokongan gemuruh orang ramai. /-harakahdaily.net