Friday, January 13, 2012

TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIAH

TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIAH

Idris Ahmad

12/1/12

Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Semalaysia Pas kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.

Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.

Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari alasan mereka.

Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.

Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Sham datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Sham kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengabil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.

Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah saw. lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”

Rasulullah saw. menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”

Istri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.



Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.

Mendengar berita itu Kaab terus sujud syukur kepada Allah.



Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.

“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul saw.


Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah saw.”

Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)



Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Bermaksud,

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)



Pernah berlaku kepada seorang aktivis Pas di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu Pas dan menghadiri program Pas walaupun beliau bukan ahli Pas. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.





Rumusannya

1.Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.

2.Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri

3.Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.

4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.

5.Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.

6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.

7. Allah akan menguji kepada kita samaada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh Pas yang sentiasa mencari peluang

8.Contohilah seorang ahli biasa Pas d Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada Pas

9.Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.



sumber: http://idrisahmad.wordpress.com

Thursday, December 29, 2011

Peraturan guna dakwat kekal diketahui 1 Februari

Peraturan guna dakwat kekal diketahui 1 Februari:
5 Safar 1433H. [MOD] -KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diketahui pada 1 Februari nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, peraturan itu sedang digubal dan kandu-ngan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Selepas siap, ia dijangka boleh dipaparkan pada mesyu­arat Parlimen dan dianggap untuk berkuat kuasa,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat ke enam PSC di bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, dakwat baru itu adalah lebih baik berbanding dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 2008, dan beliau yakin tiada masalah akan berbangkit.“Dakwat bahan yang sama (seperti yang disyorkan pada 2008) namun masih dikaji oleh Jabatan Kimia berkaitan warna dan pelbagai lagi, tetapi bahan dan kandungannya sama seperti yang pernah mereka uji sebelum ini.

Dakwat ini dikatakan lebih baik berbanding yang satu lagi,” katanya.Pada 3 Disember lalu, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ pada PRU akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Selain itu, dalam usaha membersihkan daftar pemilih, Ongkili berkata, SPR semalam turut mengedarkan cakera padat mengandungi 42,051 nama pengundi yang meragukan kepada anggota PSC dan parti-parti politik di seluruh negara.

“Ini supaya orang awam dan pihak tertentu dapat me-ngesahkan nama-nama yang terlibat, kerana dikatakan mereka ini sudah lama dicari oleh pihak SPR,” katanya.

Ongkili juga memaklumkan bahawa mesyuarat PSC pada hari ini turut memutuskan susun atur baru tempat mengundi bagi menjadikan proses pengundian lebih telus di mana ejen tempat mengundi (wakil calon) diberikan ruang penelitian lebih rapi.

“Contohnya susunan tempat duduk di mana ejen calon adalah berhadapan pengundi, sambil dia masuk jadi dia boleh mengenali dan boleh nampak muka pengundi dengan jelas,” katanya.Selain itu, katanya penambahbaikan lain turut dilakukan termasuk menyediakan peti undi yang lebih sesuai.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini, tujuh daripada 10 cadangan PSC di Parlimen telah menerima maklum balas positif daripada SPR.

Sinar Harian

APA BOLEH REMBAT - REMBAT

APA BOLEH REMBAT - REMBAT:


ZAKAT TU APA?




RESPONS KEPADA JAWAPAN MAIWP TENTANG SALAHGUNA WANG ZAKAT JAMIL KHIR

Berikutan kenyataan saya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai
Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa
pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes
permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran
kerajaan.

Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak
tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam
yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan
proses mahkamah.

Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk
membayar kos guaman ini.

Malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada
wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November
2011.

Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau
mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan
kita untuk mempertahankan diri mereka.

Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas
hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan
bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini.
Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim
Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan
selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.
Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul
Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti
Wilayah Persekutuan.

Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya,
apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang
zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan
kemudian pada Disember 2010.

Juga mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan
Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi
dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini?
Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun
di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap
pengurusan wang zakat.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT


/-salin dari tukartiub.