Sunday, June 12, 2011

Kenapa BERSIH perlu disokong?

  SHAH ALAM 11 JUN : Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu menjelaskan, tujuan utama PAS meluluskan usul menggesa seluruh rakyat Malaysia menyertai himpunan Bersih 2.0, hanyalah kerana mahu menuntut sebuah pilihan raya yang adil dan telus dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.

" Yang kita hendak buat dalam Himpunan Bersih 2.0, di mana kita menyokong himpunan ini kerana kita hendakkan keamanan negara. Biarlah siapa menang pun, rakyat terima keputusan pilihan raya. Amat merbahaya dalam sesebuah negara apabila rakyat tidak terima keputusan pilihan raya,"katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Tv Selangor.


Menurut Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, pendaftaran warga asing di Selangor yang berleluasa kebelakangan ini begitu membimbangkan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini tampil membuat laporan polis berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi di kawasan Hulu Selangor.

Kegiatan ini yang dikenali sebagai 'projek IC', dahulunya begitu meruncing di Sabah dan Sarawak.

Bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong mendedahkan, hasil penyelidikannya selama 15 tahun — yang dimuatkan dalam bukunya Lest We Forget — menganggarkan kira-kira 600,000 pendatang haram diberikan kewarganegaraan bawah projek di Sabah.

Lantaran itu kata Mat Sabu, PAS mengambil pendirian tegas turun di jalanan bagi menuntut hak rakyat memilih wakil mereka terpelihara.

PAS pada Muktamar ke-57 meluluskan usul supaya seluruh ahli PAS di semua peringkat harus menyertai himpunan tersebut kerana empat tuntutan Bersih 2007 tidak dipenuhi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Diuja persoalan apakah PAS yang kini bergabung bersama Pakatan Rakyat yakin gagasan pembangkang itu mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya nanti, kata Mat Sabu, hanya ketelusan dalam proses pilihan raya yang mampu menentukan segalanya.

" Sebenarnya pilihan raya lepas pun, Pakatan Rakyat sudah berjaya mengambil alih Putrajaya ini. Cuma BN selamat antaranya dengan undi pos, di lebih kurang 25 kerusi parlimen. Kemudian selamat dengan masyarakat Felda yang tertutup. Ini sahaja yang ada pada mereka.

"(Walau bagaimanapun) saya tetap menaruh kebimbangan. Dalam dunia ketiga ini, yang boleh ambil pemerintahan melalui pilihan raya, berubahnya parti pemerintah, hanya India. Lain-lain hanya melalui jalan raya dahulu,"katanya.

Namun katanya, beliau optimis jika semuanya berjalan dengan baik, tiada unsur-unsur penipuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tanggungjawab dengan adil dan saksama, Pakatan akan berada di Putrajaya selepas PRU-13.

" Kalau pilihan raya berlaku dalam suasana yang adil dan saksama, tidak ada penipuan, pendaftaran secara menyeluruh, saya yakin, saya yakin kita boleh mengambil alih Putrajaya,"katanya lagi.

sumber: TVS News

Thursday, June 9, 2011

Memakai tatu dilaknat Allah

Sebilangan besar remaja sekarang gemar mencacah tatu di badan mereka. Bagi mereka, tatu adalah trend terkini dan sesiapa yang memakainya berasa bangga bila kalangan rakan-rakan memuji kecantikan tatu terutama yang berlambang haiwan atau ukiran tatu mewakili kumpulan tertentu.

Dalam konteks ini, sama ada tatu yang dicacah itu cantik atau tidak, orang Islam tidak boleh memakai kerana hukumnya adalah haram. Tidak kiralah tatu itu olok-olok atau tiruan, hukumnya tetap sama. Si pentatu dan orang yang meminta dirinya ditatu pasti akan dilaknat Allah.

Abdullah bin Umar r.a berkata: aku telah mendengar Rasulullah telah bersabda, " Sesungguhnya Allah melaknat si pentatu dan orang meminta dirinya ditatukan.” (Riwayat Bukhari, kitab: al-Libas, Bab: al-Mausulah, no: 5942.)

Dalam erti kata lain, pemakaian tatu dilihat menyerupai amalan orang-orang Barat yang tidak menggambarkan kebudayaan sihat.

Rasulullah SAW pernah bersabda, "Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka dia akan dikira daripada kaum tersebut.”

Ustaz Ahmad Fauzan Yahaya dari Universiti Madinah Antarabangsa berkata, memakai tatu bukan budaya orang Melayu dan Islam. Ia diimport daripada budaya jahiliah dan orang tidak bertamadun.

Menurutnya, terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang melarang kita melakukannya. Malah Allah menyebut dalam al-Quran agar tidak mengubah ciptaan Allah sebagaimana termaktub dalam surah al-Nisa:

"Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barang siapa menjadikan syaitan pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (An-Nisa`: 119).

"Dalam soal pemakaian tatu ini, saya ingin berkongsi perihal seorang bekas mufti Saudi yang terkenal, Syeikh Abdul Aziz Baz yang ditanya oleh seorang individu tentang hukum bertatu sewaktu dia jahil akan hukum tatu; misalnya tatu diukir oleh ibu bapa atau ketika dia masih lagi bukan Islam.

"Lalu dijawab Syeikh kepada individu terbabit supaya berusaha menghilangkannya tetapi jika terdapat kesulitan dan membawa mudarat yang besar untuk menghilangkannya, memadai dengan bertaubat dan memohon ampun," kata Ustaz Ahmad Fauzan.

Beliau berkata, tokoh agama, Syeikh Saleh Fauzan turut ditanya tentang hukum membuat tatu di wajah dan di tangan yang kadang-kadang dilihat menjadi adat dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat.

Lalu, tokoh agama itu memberitahu, tatu adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar kerana Rasulullah melaknat Al-Wasyimah (yang mentatu) dan Al-Mustausyimah (yang minta orang lain untuk mentatukan tubuhnya). Semuanya terlaknat melalui lisan Rasulullah. Dengan demikian, tatu itu haram dalam Islam dan merupakan salah satu dosa besar.

Imam Nawawi turut mengatakan: "... Kalau mungkin dihilangkan dengan pengubatan maka wajib dihilangkan. Jika tidak memungkinkan kecuali dengan melukainya di mana dengan itu khawatir berisiko kehilangan anggota badannya, atau kehilangan manfaat dari anggota badan itu, atau sesuatu yang parah terjadi pada anggota badan yang ada tatu itu, maka tidak wajib menghilangkannya.

Dan jikalau bertaubat ia tidak berdosa. Tapi kalau ia tidak mempunyai masalah untuk menghilangkannya, maka ia harus menghilangkannya. Dan ia dianggap bermaksiat dengan menundanya.

Sama saja dalam hal ini semua, baik lelaki mahupun wanita.” (Syarh Shahih Muslim, 14/332. Dinukil pula ucapan ini dan disetujui dalam kitab ‘Aunul Ma’bud, 11/225, dan Nailul Authar, 6/228).

Sinar Harian/-